Saturday, April 4, 2020

Pasak: Babak 1 -4





PASAK
Karya
M. Lestari


BABAK 1:


Di rumah HASSAN, Isterinya sedang memasak di dapur. HASSAN masuk dengan wajah yang agak teruja.

ROSNAH: Hai abang, awal balik hari ni, dah habis membajak ke.
HASSAN: Tak, hari ni abang tak turun ke sawah pun. Baru balik dari rumah penghulu.
ROSNAH: Jadi betullah kita tak ke sawah tahun ni?
HASSAN: Rasanya tak perlu dah. Abang kena buat rumah penghulu. Bertukang. Dia janji nak bagi 300 gantang beras dan lembu dia 2 ekor. Tanah dia beli kat sebelah masjid, besar juga dalam 2 ekar.
ROSNAH: Banyak juga tu. Tapi sawah kita tu takkan kita nak biarkan saja. 3 relung tu bang.
HASSAN: Jangan risau, sawah kita tu abang pajakkan pada Mansur. Kan dia ada anak lelaki ramai, boleh tolong tu. Abang suruh dia usahakan, nanti hasilnya kita bagi sama rata.
ROSNAH: Dia setuju ke?
HASSAN: Ya, dia kata hasilnya dia nak jual kat Kota Selawar. Di sana beras kita ni mahal harganya.
ROSNAH: Kalau saya congaklah kan bang. Penghulu bagi kita 300 gantang, kalau Mansur bagi kita separuh dari hasil sawh kita, dah jadi 600 gantang. Kita pakai pun tak sampai 50 gantang setahun. Lebih 550 gantang tu nak jual ke?
HASSAN: Itulah mansur akan tolong jualkan Kat Selawar. Kalau dia jual kan 550 gantang tu, bolehlah dapat dapat dalam 500 ringgit.
ROSNAH: Banyak tu bang. Nak buat apa dengan duit tu?
HASSAN: Abang ingat nak beli perabot jatilah. Abang tengok rumah penghulu ada perabot jati, cantik. Bila orang datang nampaklah macam orang berada nanti.
ROSNAH: Rasa macam membazirlah bang. Selama ni rumah kita elok saja saudara mara datang duduk atas tikar. Tak perlu kerusi meja pun. Beli tikar mengkuang Mak Lijah yang cantik sikit pun dah nampak lawa. Ini kalau  dah ada kerusi meja, berapa orang sangatlah boleh duduk makan.
HASSAN: Ish awak ni, dunia dah berubahlah. Orang tak duduk atas lantai lagi, kalau pergi ke bandar sana tu, setiap rumah ada kerusi meja.
ROSNAH: Yelah Bang. Kalau dah itu hajat abang. Saya ikut saja.
HASSAN: Lagipun abang rasa inilah masanya abang gunakan ilmu buat rumah yang atok abang turunkan kepada abang. Yelah dulu ingatkan abang nak jadi tukang rumah. Dah buat juga tiga buah kat sana. Bila arwah ayah ajak abang balik ke Kampung ni, terus jadi pesawah.
ROSNAH: Abang boleh saja jadi tukang rumah, selepas menuai buat lah rumah penghulu tu. tak payahlah sampai berhenti bersawah.
HASSAN: Abang terfikir juga, tapi kalau ganjarannya lumayan, abang tak ke sawah pun tak apa. Ada duit lebih lagi. Hai, tak nak ke perabot jati?
ROSNAH: Kalau dah rezeki tu terima jelah. Tapi yang saya hairan, kenapa nak buat rumah tu di masa musim membajak menyemai ni. Tak boleh ke Penghulu tunggu lepas mengubah anak padi untuk abang mulakan kerja tu?
HASSAN: Boleh saja. Tapi abang terfikir, kalau selepas rumah penghulu tu siap, abang ada masa untuk buat rumah adik dia pulak di Setenang, dia kata adik dia pun nak buat rumah juga.
ROSNAH: Wah, nampaknya bersambung2lah abang bertukang ye?
HASSAN: Itulah cadangnya nak buat rumah penghulu tu sekarang. Supaya lepas musim menuai abang boleh ke Setenang pula buat rumah adik dia.
ROSNAH: Adik dia yang mana satu?
HASSAN: Si Seman, yang nombor tiga. Dia baru balik dari berdagang kapal. Katanya dia dah jadi orang kaya kat Setenang. Itu yang dia nak buat rumah baru tu.
ROSNAH: Rezeki orang kan bang, untung dia.
HASSAN: Yelah. Kita pun boleh tambah rezeki kalau ambil peluang ni.
ROSNAH: Saya doakan saja kita dapat yang terbaik dan berkat. Hmm, makanan dah siap ni. Abang nak makan sekarang ke atau tunggu lepas zuhur?
HASSAN: Lepas Zohor lah. Kat rumah penghulu tadipun dia hidangkan goreng pisang. Rasa kenyang pulak lagi.





BABAK 2:


Rumah Penghulu Kasim. Dia duduk di ruang tamu bersama Seman, adiknya yang datang berziarah dari Setenang.
PENGHULU KASIM: Jadi kau sahih nak minta Hassan buatkan rumah kau tu?
SEMAN: Jadi bang. Kalau rumah abang siap nanti, mintalah dia datang ke Setenang untuk tengok tapak rumah saya pula. Saya kalau boleh tak mahu orang lain buat, sebab saya tengok rumah yang dia buat bersama arwah Datuk dia di Kampung Hulu tu cantik seninya.
PENGHULU KASIM: Oh rumah Lebai Deraman tu. Aah, aku tahu rumah tu. Memang cantik. Cara dia pasak pun kemas dan kukuh. Dia bukan saja pasak kan tiang dengan gelegar, sampai ke bilah lantai pun dia buat selak. Jarang orang buat begitu sekarang.
SEMAN: Itulah. Satu lagi arwah datuk dia pandai juga buat perabut dan almari. Pun cantik juga. Kayu lebihan dari rumah yang dibuatnya dijadikan perabut.
PENGHULU KASIM: Oh? Aku tak tahu dia buat perabut. Hmm Mungkin kalau Hassan boleh buat juga, aku nak juga dia buat satu pasang kerusi tetamu untuk rumah baru aku. Tapi , satu benda yang yang kita kena tahu, kerja arwah datuk si Hassan tu, Tok Sidang Damat,  cantik bukan sahaja sebab nilai seninya, ada satu lagi sebabnya.
SEMAN: Apa benda tu?
PENGHULU KASIM: Kayu yang dia guna tu. Kayu merbau kelawar yang dia guna tu, cantik iranya, cantik warnanya dan lain dari merbau biasa. Tak boleh jumpa kat tempat lain melainkan di Hutan Gunung Sirat kat hulu sungai ni.
SEMAN: Oh ya betullah. Bukan ke dahulu rumah orang kampung daerah ini gunakan kayu dari situ? Tapi… katanya sekarang Jabatan Rimba tak benarkan kayu tu dibawa keluar lagi, kenapa ya?
PENGHULU KASIM: Entahlah, katanya kayu tu dari jenis jarang dijumpa, dan ada kaitan dengan air sungai kita tu. Kalau ditebang, habis tanah merah dari hulu tu mendak kat kampong kita. Satu lagi, kata orang Jabatan, Hutan Gunung sirat itulah yang menyebabkan air Sungai Sirat tu istimewa, air itulah yang menjadikan beras daerah ini sedap dan bermutu.
SEMAN: Tapi kalau kita ambik setakat nak bina dua tiga rumah tak kan tak boleh. Eh, abang cubalah jumpa Pengarah jabatan Rimba Daerah kita ni. Mintalah dia luluskan permit untuk keluarkan kayu untuk buat rumah kita berdua.
PENGHULU KASIM: Oh Pengarah Jabatan Rimba Daerah. Ya, ya, aku kenal. Mohsin nama dia. Anak sedara Imam Ros. Aku rasa boleh aku minta Imam Ros beritahu dia supaya keluarkan permit.
SEMAN: Baik bang. Kalau dapat kayu tu, memang rumah kita lain dari yang lain bang. (disambung dengan gelak tawa dua adik beradik tu)

BABAK 3


Di Rumah Penghulu Kasim. Kelihatan seorang tua berserban duduk di serambi bersama Penghulu Kasim. Kedua2nya baru pulang dari Masjid Selepas solat Asar. Isteri Penghlu Kasim Menghidangkan 2 cawan Kopi panas untuk kedua lelaki itu, Setelah selesai tugasnya dia pun bergegas masuk semula.
IMAM ROS: Haa Kasim, apa hajat engkau sampai ajak aku singgah ni. Tak pernah2 kau ajak ajak aku minum kopi di rumah engkau ni
PENGHULU KASIM: Tak adalah tuan haji, sekali sekala apa salahnya. Tuan haji pun bukannya ada kerja nak tergesa2 balik kan?
IMAM ROS: Iyalah, bukan ada apapun yang aku nak kejar, Cuma tertanya2 apa hajat engkau ni, biasanya kalau ada apa-apa, mesti kau cakap kat masjid saja tadi.
PENGHULU KASIM: (Ketawa Kecil).. Pandai Tuan haji. Yelah orang lama, bijaksana. Bak kata orang sekilas ikan di air dah tahu jantan betinanya.
IMAM ROS: Alah bukan aku tak kenal engkau. Nak berkias kias pula. Cepatlah cakap, apa halnya.
PENGHULU KASIM: Macamni tuan haji, Tuan haji pun tahu yang saya dah beli tanah sebelah masjid tu kan. Saya nak buat rumah di situ, Saya dah minta si Hassan buatkan rumah untuk saya.
IMAM ROS: OH aku ada dengar juga. Baguslah. Si Hassan tu katanya pandai buat rumah. Cuma sejak duduk kampung ni tak pernah lagi aku tengok dia bertukang.
PENGHULU KASIM: Yelah tuan haji, kan kat sini sawah arwah ayah dia ada. Bersawah lah dia. Lagipun bukan selalu orang nak buat rumah di Kampung ni. Yang sebenarnya dia memang bertukang semasa dia tinggal di Kampung Seberang tu. Masa tu dia jadi tukang rumah bekerja dengan arwah datuknya, Tok Sidang Damat.
IMAM ROS: Hmm Aku ada dengar juga. Eh tapi, apa kena mengenanya dengan aku?
PENGHULU KASIM: Begini. Rumah saya tu cadangnya nak gunakan kayu dari hutan Gunung Sirat tu. Kayu MErbau KElawar. Kayu tu memang bagus untuk buat rumah. Cumanya nak tebang kayu tu kena mintak kelulusan Jabatan Rimba. Bukan ke anak saudara Tuan Haji, Si Mohsin tu Pengarah Jabatan tu?

IMAM ROS: Oh begitu ceritanya. Si Mohsin tu dah 2 tahun jadi pengarah situ. Betullah tu. Tapi tentang kayu merbau Kelawar ni, rasanya  dah tak boleh tebang lagi dah. Sejak 10 tahun lepas dah keluar arahan tak ada sesiapa dibenarkan menebang Merbau Kelawar tu lagi. Bukan kah sebelum tu, tentu kau masih ingat, ada syarikat yang tebang begitu banyak sampai sungai kita ni jadi keruh. Kampung Hulu kan banjir teruk sebab mendakan tanah merah kat Kuala Serai.
PENGHULU KASIM: Saya tahu ceritanya Tuan Haji. Tapi rasanya kalau setakat untuk buat sebuah dua rumah tak kan tak boleh? Tak luak rasanya hutan tu.
IMAM ROS: Mungkin juga. Tapi, kenapa kau nak sangat merbau kelawar tu. Rasanya Kedai Papan di Selawar pun banyak kayu bagus, dah siap dipotong pun. Meranti, Balau, merbau biasa pun ada. Kau pesan saja pada Towkey Chin, dia pun boleh hantar dengan lori.
PENGHULU KASIM: Saya tahu tuan haji. Tapi Tuan haji cuba tengok rumah2 lama di kampong kita ni, cuba bandingkan kayu dia dengan kayu lain. Bukan kah tak sama? Rumah2 lama tu semuanya gunakan Merbau kelawar dulu.
IMAM ROS: Betul juga tu. Memang Rumah lama di kampong ni cantik2. Kayunya tu yang buatnya cantik. Tapi itulah, dahulu tak ada masalah sebab penduduk gunakan kayu merbau tu  untuk buat rumah sendiri. Tapi bila ada syarikat yang tebang besar2an untuk dihantar ke Luar Negara, itu yang jadi masalah. Digasaknya berpuluh ekar sekali tebang. Bila hujan sungai mendak. Airnya rosak. Sawah pun tergugat waktu tu. Aku masih ingat lagi tahun tu orang kampong terpaksa beli beras dari Selawar yang tak sesedap mana, sebab padi kita rosak dek banjir tu.
PENGHULU KASIM: Nampak tak tuan haji, itu masalahnya kalau ditebang berpuluh ekar. Untuk Buat rumah setakat 4 5 buah rasanya tak banyak mana.
IMAM ROS: tak tahulah aku Kasim. Mungkin ada baiknya kau jumpa sendiri dengan Mohsin. Bolehlah kau bincang baik2 dengan dia. Hah, kebetulan petang besok dia nak datang ke rumah aku, bolehlah aku suruh dia singgah rumah engkau nanti.
PENGHULU KASIM: Ha, baguslah kalau macam tu tuan haji. Eh Nak suruh dia datang sini ke atau saya datang ke rumah tuan haji jumpa dia disana.
IMAM ROS: Ada baiknya dia datang ke rumah engkau. Di sana nanti tak tentu pula boleh bincang benda ni ke tidak. Kami nak bincang pasal kenduri kahwin anak dia yang sulung tu. Dia nak buat di Kampung ni majlis tu. Takut tak dapat kamu berdua nak berbincang pasal ni.
PENGHULU KASIM: Baiklah kalau macam tu. Suruh dia datang sini nanti. Terima kasih banyaklah tuan haji. Eh Jemput minum, sejuk pulak kopi ni nanti.
IMAM ROS: Baik, baik (sambil keduanya mencapai kopi pekat dan berbual kosong hal2 lain pula)

BABAK 4

Dirumah PEnghulu. MOhsin, pegawai kerajaan duduk bersama Penghulu Kasim Di Kerusi Tamu di Serambi.
Penghulu Kasim: terima kasihlah MOhsin sebab sudi datang ke rumah aku. Sepatutnya akulah yang pergi jumpa engkau di Pejabat, sebab hal ni ada kena mengena dengan tugas engkau.
Mohsin: AH tak mengapa Tok, memang saya dalam perjalanan nak pulang kebetulan lalu di rumah tok. Pak Ngah saya ada beritahu pasal hajat tok nak bawa kayu tu keluar.
PGK: Oh dia dah cerita ye. Baiklah Macamana? Boleh ke?
Mohsin: Kalau ikutkan, pekeliling larangan bawak keluar Kayu Merbau dari Hutan Gunung Sirat dah sepuluh tahun lamanya. Surat tu Menteri Besar sendiri yang tandatangan. Jadi agak sulit sedikit Tok.
PGK: Aku faham MOhsin, tapi bukankah larangan tu untuk syarikat besar yang bawa keluar beratus pokok. Kalau setakat anak kampong sendiri nak guna untuk buat rumah takkanlah tak boleh. Dah beratus rumah daerah ni dibuat dengan Merbau hutan situ,  tak pernah jadi kes banjir atau lain2 hal. Cuma bila Syarikat besar tu bawak keluar banyak2 macam tu baru terjadi malapetaka tu.
MHS: Betul tu tok. Tapi surat arahan tu tidak pula nyatakan larangan untuk syarikat besar sahaja atau tidak.
PGK: Aku memohon bukan untuk rumah aku sahaja, tapi untuk anak kampong ni juga. Kalau dapat Kelulusan untuk anak kampong ini bawa keluar Kayu Merbau tu, boleh buka peluang untuk mereka yang pandai bertukang untuk tambah pendapatan. Kau tentu tahu Merbau Kelawar Gunung Sirat tu istimewa dan harganya tinggi. Kalau kita gunakan berdikit2 dan pastikan tidak ditebang melampau, Insya Allah hutan tu akan kekal dan sentiasa berganti pokok yang  baru.
MHS: Beginilah tok, saya akan cuba bawa perkara ke Mesyuarat bersama Menteri besar minggu depan. Saya nak Tanya tok, ramai ke anak kampong ni yang mahir bertukang?
PGK: Dahulu sebelum larangan ramailah juga. Selepas larangan tu, tak adalah lagi nampaknya. Tapi sekarang ni ada seorang yang pandai bertukang baru berpindah dari kampong seberang. Asalnya anak kampong ni Juga. Hasan nama dia. Dia ni pewaris tukang rumah terkenal dahulu, Tok Sidang Damat. Nampaknya dialah yang muda sedikit yang boleh aku harap untuk buat rumah aku tu.
MHS: Oh Begitu ceritanya ya. Baiklah akan cuba saya usahakan. Sayang juga kalau ada bakat muda kita tak beri peluang. Baiklah Tok, saya minta diri dahulu. InsyaAllah kalau ada keputusan yang baik selepas mesyuarat tu saya akan maklumkan kepada Tok. Assalaamualaikum
PGK: Waalaikumusssalam.

BABAK 4


Setahun kemudian, Di Rumah Penghlu Kasim yang Baharu.
PGK: Hasan, aku puas hati sungguh dengan hasil kerja kamu ni, saling tak tumpah seninya macam arwah Datuk Kamu.
HSN: Terima kasih Tok, Saya rasa terhutang budi dengan Tok beri saya peluang untuk buat rumah Tok denagn rumah Seman. Sejak tu rezeki saya tak putus tok. Seman pulak kenalakn saya pada kenalan dia di Kampungnya, tahun ni saja ada 3 buah rumah lagi saya akan buat.
PGK: Alhamdulillah. Memang rezki engkau Hasan. Tak sia2 Tok Sidang Damat turunkan ilmu bertukang pada kau. Sekarang ni kaiu tak ke sawah lagilah ye?
HSN: Tidak lagi tok. Sawah saya saya pajakakn pada Mansur. Dia tolong usahakan dan jualkan dan kami kongsi hasil. Itu pun tak habis makan tok. Hasil dari bertukang rumah tu Alhamdulillah bolehlah saya hidup selesa sikit.
PGK: Kau tahu semua orang yang datang ke rumah aku ni bertanya siapa tukangnya. Tapi kau tahu apa yang paling diorang suka?
HSN: Apa dia tok?
PGK: INi, kerusi yang kita duduk ni. Kau buat dari kayu merbau yang lebihan. Mereka suka sangat tengok kerusi ni. Ada yang bertanya bolehkah aku minta engkau buatkan sepasang untuk mereka. Aku kata tanyalah engkau sendiri.
HSN: Kerusi ni? Hmm ini saya buat ikut ilham sendiri je tok. Saya rasa Kerusi Jati Tok tu lagi cantik.
PGK: Oh kerusi dan meja makan Jati tu. Alah kat Bandar sana dah ramai yang buat perabot jati macam tu. Tapi kerusi yang kau buat ni pakai pasak dan tanggam, tak pakai paku sebatang pun. Itu yang merka kagum. Kerusi Jati Bandar tu semua berpaku. Tak tahan lama. Kalau paku tu karat rosak kerusi tu.
HSN: Oh begitu ye. Memang saya tak guna kan paku. Arwah Datuk saya kata Besi ni bukan kawan baik kayu. Itusebabnya saya guna pasak dan tanggam.
PGK: Itulah istimewanya. Baiklah Hasan. Boleh tak kau buatkan kerusi macam ni beberapa pasang lagi?
HSN: Boleh je tuk, tapii.. kat mana saya nak cari kayu merbau kelawar tu, ada lagi ke kyu lebihan orang buat rumah? Sebabnya Merbau kelawar saja yang saya boleh buat pasak dan Tanggam untuk kerusi. Saya pernah cuba pakai merbau biasa tapi tak begitu baik.
PGK: Alah tak payah tunggu lebihan, keluarkan saja kayu Merbau Kelawar tu lagi sebatang dua dair hutan tu. Banyak kerusi kau boleh buat tu. Jangan Takut, Jabatan Hutan dah bagi kelulusan untuk anak kampong keluarkan merbau kelawar tu.
HSN: Kalau betul begitu baiklah tok. Saya akan kumpulkan budak2 saya untuk bawa keluar kayu tu. Tapi macamana dengan belanjanya tok?
PGK: Eh tentulah ada bayarannya. Aku sebenarnya dah bebincang dengan Seman. Katanya kalau dia beli dengan harga 90 ringgit setiap kerusi, kau sanggup?
HSN: Boleh lah tu tok. Tapi kalau saya keluarkan 2 batang merbau, boleh buat 20 kerusi tu Tok, berapa yang dia nak sebenarnya?
PGK: Tentang tu kau jangan risau, Seman tu kan orang berniaga, dia dah tahu kat mana dia boleh jual kerusi2 kamu tu.
HSN: Banyak tu tok. Tapi betullah, dibandar tu memang semua nak kerusi sekarang. Orang dah tak duduk atas lantai lagi nmpaknya.
PGK: Haha, Kebanyakan di Bandar tu rumah batu, lantainya simen. Sejuk punggung kalau duduk atas lantai San… (ketawa)



Tuesday, March 3, 2020

Lara Belantara - Sinopsis Kisah Serakah Sang Kapitalis..



Sumber Foto: http://mazaaida.blogspot.com/2011/09/rumah-usang-di-kaki-gunung.html

Kampung Lindungan Meru terletak di kaki Gunung Megalang. Kayu Merbau yang banyak dikaki gunung itu menjadi sumber bahan untuk Awang Jugra, seorang pesawah yang mahir bertukang. Dia beralih menjadi tukang rumah yang masyhur. Dengan mendapat kebenaran penguasa, dia menebang pokok2 merbau untuk membina rumah orang kampung. Dia menjadi senang. Oleh kerana hasil pertukangannya kemas dan cantik, dia mula mendapat permintaan dari sekitar daerah. Untuk membuat rumah2 dengan lebih banyak, dia mengupah orang-orang kampung. Namun setelah tiada lagi orang memerlukan rumah, dia memikirkan bagaimana cara untuk membuat lebih banyak wang dari kayu merbau. Dia telah memperkenalkan berbagai perkakas dan perabut dari merbau yang sebenarnya tidak perlu. Tapi dia menjaja kepentingan benda2 itu sehingga menjadi permintaan tinggi orang kampung. Tok ketua yang pada mulanya tidak memberi kebenaran memotong merbau sewenang2nya, akhirnya termakan pujukan awang apabila ditawarkan berbagai hadiah dan kemewahan. Akhirnya Pokok Merbau di kaki gunung itu hampir habis ditebang. Malapetaka tidak berakhir di situ. Rupanya pokok merbau di situ mempunyai fungsi yang tidak disedari, selama ini hutan merbau itulah yang menampan air dari Gunung Megalang ketika hujan agar air tidak menderu turun dan membanjiri kampung2 dihilir. Suatu hari, berlaku hujan lebat selama beberapa hari. Masuk hari ketiga air bah yang besar datang menenggelamkan kampung Lindungan Meru.


Monday, February 17, 2020

Kadar kematian penunggang dan pembonceng motosikal dan ekonomi negara: Kemudahan yang tragis


Motosikal sering dianggap sebagai kenderaan bagi orang yang tak mampu membeli kereta. Juga dianggap paling sesuai menyelesaikan masalah kesesakan trafik. Namun ada masalah terlindung yang perlu diberi perthatian. Walaupun ia di anggap sebagai penyelesaian yang paling ekonomi, namun sebenarnya impaknya adalah pula sebaliknya. Ia menyebabkan kerugian negara jauh lebih banyak dari pengangkutan lain.

Kita lihat kos sosial motosikal. MIROS menganggarkan kerugian negara bagi setiap nyawa yang hilang dijalan raya adalah RM1.2 juta. Pada 2016 sebanyak 7,512 kematian di jalanraya di Malaysia. Jika dilihat dari sudut impak ekonomi, Miros menganggarkan kos kematian dijalanraya adalah sekitar RM1.2 Juta setiap Nyawa. Ini bermakna negara kehilangan potensi ekonomi sebanyak RM 8.6 Bilion pada 2016, dari segi kos perubatan, gantirugi, dan kehilangan produktiviti. Kajian pada 2012 meunjukkan kadar kematian motosikal adalah 60%, iaitu tiga kali ganda dari kadar kematian kereta. INi bermakna kos ekonomi pada negara ialah RM 5.1 bilion setahun.

Namun apa yang lebih tragis adalah impak kepada keluarga simati. Ramai bapa, pelajar2, pekerja yang merupakan taruhan harapan keluarga merupakan mangsa. Selain dari kesedihan kehilangan orang yang disayanagi, keluarga yang tinggal jgua merana akibat kehilangan orang yang diharapkan menyara, menjadi pejuang rezeki. Kebanyakan mereka ini dari golongan berpendapatan rendah.

Motosikal bukanlah penyelesaian terbaik untuk meningkatkan ekonomi negara khusunya golongan berpendapatan rendah. Program kesedaran boleh meningkatkan kesedaran penunggang, namun  hakikatnya ialah ia kenderaan yang berisiko dalam kemalangan walaupun bukan kecuaian penunggang.

Oleh itu pelaburan dari segi meningkatkan kemudahan pengankutan awam perlulah difikirkan agar kebergantungan masyarakat kepada motosikal dapat dikurangkan.

Mungkin generasi sekarang tidak dapat menghilangkan kebergantunan kepada motosikal yang murah dan ringkas. Bagi ramai orang, kebaikan dan kemudahannya mengatasi segala risiko. Namun untuk generasi akan datang, hindarkanlah kebergantungan kepada motosikal. Untuk keperluan, seandainya terpaksa berkenderaan, lebih baiklah membeli kenderaan terpakai yang murah harganya. Ia 3 kali ganda lebih selamat.


https://www.thestar.com.my/news/nation/2017/02/02/road-accidents-cost-malaysia-rm9dot2bil-in-2016

https://www.thestar.com.my/lifestyle/health/2019/05/14/we-have-the-third-highest-death-rate-from-road-accidents

Muhammad Marizwan Abdul Manan ⁎, András Várhelyi, Motorcycle fatalities in Malaysia , IATSS Research 36, 2012.

Wargafikir Feb 2020